Ohh! Tanah Rezab Melayu dan Usahawan Pemaju Hartanah Melayu

Antara tanah rezab Melayu yang masih tidak dapat dimajukan. Foto Hartanah Melayu 2017

Sudah tiba masanya Kerajaan yang ditunjangi oleh kepimpinan Melayu melihat isu ini sebagai suatu perjuangan yang belum diperhalusi ataupun dalam bahasa mudah iaitu 'terlepas pandang'.


Memang benar bahawa terdapat banyak peluang dan bantuan yang dihulurkan atau dicipta untuk membantu usahawan bumiputera (dalam kata lain Melayu!) tetapi setelah 50 tahun merdeka kita masih belum menuju ke jalan kejayaan menyamaratakan tahap dan taraf ekonomi kita sebaris dengan bangsa lain di dunia ini.

Dasar Ekonomi Baru yang pada mulanya diperkenalkan untuk tujuan ini nyata akhirnya menjadi medan kepimpinan Melayu dalam Kerajaan memanupulasikan kebaikannya untuk tujuan mereka sendiri. Ini bermakna hanya Melayu yang terpilih sahaja yang menerima kebaikan tersebut dan akhirnya sesuatu yang terbaik untuk Melayu kini menjadi bahan jenaka dan bersedia menjadi 'senjata yang makan tuan'!

Dan kini apabila perebutan kuasa (power struggle) di kalangan pemimpin Melayu menjadi semakin membimbangkan ke arah kejatuhan kekuatan politik Melayu, perkara ini juga semakin mengancam ekonomi orang Melayu khususnya kalangan usahawan sebenar yang berada di atas padang yang samarata dengan usahawan-usahawan lain.

Usahawan Politik Melayu

Tidak boleh dinafikan bahawa kini terdapat lebih ramai usahawan politik Melayu mendominasi peluang-peluang ekonomi dan meninggalkan usahawan sebenar yang tidak berminat ke arah sektor politik ataupun belum bersedia menjadi orang politik.

Walaupun demikian masih belum terlambat Kerajaan yang masih di tunjangi oleh kepimpinan politik Melayu memperbetulkan halatuju penguasaan ekonomi Usahawan Melayu. Salah satu caranya dengan memperbaiki sistem dan kaedah mewujudkan Usahawan-Usahawan Pemaju Hartanah Melayu.

Saya merayu kepada Kerajaan khususnya yang terlibat sepenuhnya dalam Program Pembangunan Usahawan agar menerima-pandang perkara ini agar tidak lagi diperbiarkan atau tidak diambil peduli ataupun masih terlepas pandang.

Faktanya masih belum ada usaha atau perancangan Kerajaan dalam mewujudkan Program Keusahawanan Pemaju Hartanah setelah lebih 50 tahun kita merdeka.

Kerajaan membiarkan sektor usahawan Pemaju Hartanah Melayu ini berlegar-legar kepada Syarikat Kerajaan (GLC) samada dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri tanpa mendidik individu-individu usahawan tulen sebenar sebaliknya menganggap Pengurus-Pengurus GLC adalah usahawan; di mana konsep ini adalah salah dan khilaf yang sebesar-besarnya!

Memperkasakan Usahawan Pemaju Hartanah Melayu

Sehingga mana Kerajaan boleh bertahan mencipta peluang-peluang kerja kepada kontraktor Melayu sehingga tiba ke suatu tahap di mana kadang-kadang pembinaan tidak perlu terpaksa dibuat juga demi menjaga kebajikan kontraktor-kontraktor ini?

Kenapa tidak memperkasakan Usahawan Pemaju Hartanah Melayu di mana program ini akan mencipta lebih ramai usahawan yang kreatif mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada sektor hiliran seperti kontraktor kerja tanah, kontraktor binaan, kontraktor prasarana, kontraktor landskap dll selain membantu usahawan-usahawan professional Melayu seperti Arkitek, Perancang Bandar, Jurutera, Jurukur Tanah, Jurukur Bahan, Peguam dll?

Saya menyeru dan merayu kepada pemimpin yang berkenaan agar sama-sama kita menyedari kesilapan ini dan bersama-sama juga memperbetulkannya dan akhirnya menjadi wadah memperkasa ekonomi Melayu khasnya.

Sekian, terima kasih.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Gambar-Gambar Seminar Usahawan Hartanah Melayu

Gambar-Gambar Seminar Usahawan Hartanah Melayu
Harap maaf, gambar kurang cantik