Wah, hampir setahun saya meninggalkan penulisan blog di sini. Tiada alasan selain dari tiada apa yang benar-benar penting untuk dituliskan sebagai penanda aras berkenaan hartanah Melayu.
Tapi kali ini saya terpanggil untuk menulis berkenaan dengan diskaun bumiputera yang secara tiba-tiba menjadi panas! Panas kerana dijadikan isu politik semata tetapi tidak secara ilmiah atau fakta.
Faktanya adalah kenapa seseorang orang Melayu yang mampu membeli rumah melebihi harga RM500 ribu harus diberikan diskaun? Mengapa orang Melayu yang kaya ini harus dijadikan isu tentang diskaun ini? Hak sebagai seorang Melayu di negara Malaysia? Dasar Ekonomi Baru dulu digarap bukan untuk orang Melayu yang kaya. Itulah isunya, DAP kata diskaun kepada orang Melayu yang kaya ini perlu diberhentikan atau disemak semula.
Isu yang lebih praktikal untuk dibincangkan adalah mengapa diluluskan terlalu banyak rumah yang dikategorikan sebagai rumah mewah? Dan kalau telah diluluskan kenapa pula harus ada kuota untuk bumiputera kerana sudah amat pasti golongan bumiputera yang mampu membeli rumah-rumah mewah ini tidak akan sampai pun 10% dari unit-unit yang ditawarkan? Kenapa pula harus dijadikan satu amalan setelah unit-unit ini tidak dibeli oleh bumputera, kelulusan akan diberikan kepada pemaju untuk menjualnya kepada bukan bumiputera atau orang asing? Atau wujud sebuah amalan yang dicipta oleh pegawai-pegawai kerajaan agar pemaju selalu merujuk kepada mereka, merayu kepada mereka dan akhirnya terbukalah ruang untuk berlakunya amalan rasuah!
Pemaju pada dasarnya adalah sebuah syarikat yang berhajat kepada keuntungan. Dalam dunia ekonomi bebas ini terpulang kepada pembeli untuk membeli atau menolak tawaran pembelian rumah. Yang harus dipertahan dan diperjuangkan oleh orang politik adalah penyediaan unit-unit rumah kos rendah dan sederhana rendah agar ia menjadi seimbang dan tidak menyebabkan ramai rakyat Malaysia tinggal di bawah jambatan, tepi sungai atau laut akibat dari kerakusan pemaju untuk mengaut keuntungan yang keterlaluan sehingga menjadikan harga rumah melambung tinggi sehingga rakyat miskin dan sederhana tidak mampu membeli rumah. Inilah peranan sebenar syarikat-syarikat GLC dan syarikat perbadanan ekonomi negeri-negeri!
Berbalik kepada isu panas tentang diskaun bumpitera ini, persoalannya kenapa harus diberikan kepada orang Melayu kaya? Lebih baik beri diskaun ini kepada rakyat miskin dan berpendapatan sederhana. Barulah makmur sesebuah negara.
0 Ulasan