Saya tidak gusar apabila Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata PNB akan membangunkan projek Warisan Merdeka ini menggunakan dananya sendiri atau mendapatkan pinjaman bank jika kadar faedah menarik, selain menjana dana di pasaran modal.
Saya menjadi gusar apabila seterusnya beliau berkata projek yang menempatkan bangunan tertinggi di Malaysia itu, akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures.
Saya menjadi lebih gusar apabila sebuah konglemerat milik kerajaan ini yang ditubuhkan untuk menguruskan dana pelaburan rakyat yang telah berjaya di dalam Amahan Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Didik dan lain-lain, kini mula bertindak menambah potfolio pelaburan daripada sepenuhnya menjadi pengurus dana pelabur kepada pemaju hartanah!
Bagi saya adalah lebih baik jika PNB guna dana dari akaun pelaburannya contohnya dari dana Amanah Saham Bumiputera dan beri unjuran pendapatan dividen yang lebih baik dari sejak 5 tahun kebelakangan ini (mengharapkan lebih dari 15% setahun) kepada pelabur-pelabur (dalam konteks yang lebih jelas ialah rakyat Malaysia taraf bumiputera).
Saya tak tahu pula PNB boleh menyimpan lebihan dana dari tabungan keuntungan pelaburan sehingga mampu membeli tanah di sekitar Stadium Merdeka dan Negara yang dikatakan melibatkan RM300 juta. Hmm! heran juga kenapa keuntungan itu tidak diberi kepada pelabur sebaliknya disimpan oleh PNB?
Nampaknya pentadbiran DS Najib masih tidak belajar dari kesilapan pentadbiran dulu yang membenarkan beberapa ajensi-ajensi pelaburan/simpanan wang rakyat memasuki perniagaan hartanah yang akhirnya membawa kepada kerugian yang bukan sedikit. Dan yang paling berisiko adalah dengan pengurusan yang terdiri daripada penjawat-penjawat awam yang tidak mempunyai risiko seandainya keputusannya atau pentadbirannya merugikan syarikat. Mereka tidak ada risiko pelaburan, tiada ada risiko rumah atau tanah yang dicagar, tidak ada risiko akan jatuh bankrap! Habis-habis dapat malu, pencen awal dan menikmati tempoh perasaraan. (Nota: kalau tiada rekod pecah amanah)
Kenapa masih mengamalkan stail monopoli sedangkan projek ini boleh dilaksanakan secara komersil sepenuhnya? Oleh syarikat swasta sepenuhnya? PNB boleh jadi pelabur dan pemantaunya? Pelabur hanya mahu untung dan berharap setiap pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana pelaburannya boleh atau mampu 'drive' keuntungan berlipat ganda yang akhirnya diterjemahkan dengan kadar dividen mungkin 20% setahun.
Berilah tugas memajukan hartanah ini kepada swasta sepenuhnya dan PNB fokas kepada penyediaan dana modal dan pemantau. Saya tidak kata projek ini tidak bagus. Pojek ini memang mempunyai potensi yang tinggi dan ditambah dengan projek-projek mega infrastruktur oleh kerajaan bersama pihak swasta yang lain seperti keretapi ekspress Kuala-Lumpur ke Singapura yang menjadikan tempoh perjalanannya dianggarkan menjadi 1 jam sahaja, ini akan memangkin kepada kenaikan permintaan hartanah!
Orang Melayu dan bumiputera tidak perlu risau dengan ketirisan kuota pemilikan kerana memang tidak dinafikan ramai orang kita tidak akan mampu memilikinya produk-produk hartanah di Menara Warisan Merdeka ini tetapi sekiranya PNB dapat memberikan dividen sehingga 20%, itupun sudah memadai.
0 Ulasan