Sikap dan perangai rakus pihak-pihak kapitalis sudah dapat kita andaikan, tetapi sikap dan rakus ini bila berada di dalam kerajaan sudah tentu ianya menakutkan. Lebih-lebih lagi dengan angka yang hebat ini, iaitu RM100 bilion, angka kosong ini tentu ramai orang-orang tua payah juga nak membilangnya.
Sikap rakus ini adalah warisan dari kerajaan dahulu, tetapi bila kerajaan kini ingin mewarisinya dengan meneruskan dan membuat ‘kenyataan-kenyataan tembak melulu’ berkenaan subjek ini seperti yang diucapkan oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini, sudah tentu ramai yang panik, malah ada pihak yang mempertikainya dengan mengingatkan YB Zuraida bahawa beliau adalah Menteri Malaysia, bukan Hong Kong!
Hartanah Malaysia merasakan ‘kenyataan tembak melulu’ ini sudah pasti dibuat untuk melihat reaksi dari rakyat, jika rakyat diam membisu maknanya hasratnya untuk mencadangkan rumah-rumah mewah yang tidak terjual ini dijual kepada orang-orang Hong Kong pasti diteruskan kepada mesyuarat kabinet untuk kelulusan.
Persoalannya adakah jika hartanah mewah tersebut tidak terjual, adakah harus ianya jadi tanggungjawab Kerajaan untuk tolong menjualkannya?
Namun ada aspek sudut-pandang yang lebih penting untuk Hartanah Malaysia melihat isu ini. Mengapakah kerajaan tidak peka kepada pasaran dan permintaan rakyat Malaysia yang rata-ratanya inginkan harga rumah yang ‘mampu-milik’ bukannya rumah mewah? Tidak cukupkah lagi rumah-rumah mewah telah dibina setakat ini dan mengapakah sehingga kini perancangan dan pembinaan hartanah mewah masih lagi terus berjalan walaupun permintaannya semakin perlahan?
Seharusnya semua kerajaan di dunia ini bertanggungjawab menyediakan rumah mampu milik atau kos rendah. Foto: HartanahMalaysia.info |
Menghairankan lagi bila bank-bank dan lain-lain institusi pelaburan masih terus melabur dalam sektor hartanah mewah ini walaupun ianya sudah tidak mencanak seperti tahun-tahun 2008-2014 lalu? Mengapakah masih terus meminjamkan wang bagi projek-projek mewah ini sebaliknya begitu ketat kelulusannya kepada projek hartanah mampu-milik? Dan lebih bagi projek perumahan di atas tanah rezab Melayu walaupun berada di pinggir bandar?
Melihat dari situasi lampau ketika Malaysia berada di dalam kegawatan ekonomi, sektor hartanah adalah yang terkesan sekali dan terpaksa dibantu oleh kerajaan bagi memastikan ekonomi tidak terus merudum. Banyak projek-projek perumahan mewah terpaksa dibantu, bank-bank juga terpaksa dibantu (walaupun ada yang terpaksa ditutup atau dipaksa bergabung!) Dan anehnya kerajaan dulu tidak pernah serik untuk terus melayan dan bergantung kepada sektor hartanah mewah ini kerana apabila dilanda ekonomi, jawapan kepada masalah ini adalah menjual hartanah ini kepada pembeli-pembeli luar negara, terutamanya dari negara China dan Hong Kong, Singapore dan lain-lain.
Oleh itu Hartanah Malaysia berharap kerajaan sekarang tidak lagi mewarisi sikap kerajaan lama yang melayani perangai kapitalis-kapitalis ini terutama dari kalangan syarikat korporat, syarikat kerajaan (GLC) dan juga ahli-ahli bank serta ahi-ahli kapitalis dan ekonomi yang lain. Kebanyakkan mereka yang terlibat dalam pemajuan dan pelaburan hartanah mewah ini adalah kalangan yang sudah tahu akan risikonya ke atas projek-projek sebegini, jadi Hartanah Malaysia tidak nampak alasan kenapa Kerajaan harus menggunakan wang rakyat untuk membantu mereka.
Special Marketing Mission on Property Investment
Kapitalis ini sudah menjalani kesilapan-kesilapan ini bukan bukan untuk kali pertama atau kedua. Rasanya ini akan memasuki kesilapan versi ketiga. Jadi rasanya mereka sudah cukup berpengalaman untuk mengatasi masalah itu tanpa melibatkan kerajaan. Jika Kerajaan ingin membuat program ‘special marketing mission’, pastinya pihak Kementerian Pelancongan yang memang sudah ada program Rumah Kedua dan juga MATRADE boleh dijadikan platformnya. Dan pastikanlah program ini boleh disertai juga oleh semua para pemaju baik kecil atau besar!
Buat kapitalis-kapitalis Pemaju hartanah ini, kesilapan ini mereka akibat kerakusan sendiri, dan mereka bukan bodoh untuk tidak mengetahui prospek dan analisa pasaran, melainkan mereka tidak kisah sebab pastinya kerajaan akan bantu kerana takut ekonomi runtuh lagi. Justeru itu sebenarnya kerajaan baru patut ada mekanisma baru memulih dan memperbaiki agar ekonomi tidak runtuh bila mereka runtuh.
Dasar Perumahan Negara 2018-2025 sudah ada jawapannya, cuma belum dilaksanakan, belum masuk ‘gear’ pun lagi, sekadar ‘start engine’.
0 Ulasan