![]() |
Puan Rafidah Ibrahim memimpin perjuangan mempertahankan hak Melayu di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur |
Menyusun Batu Masa Depan Tanpa Mengangkat Batu Nisan Sejarah
Oleh: Haji Rozman Abas, Editor HartanahMelayu.net
Di celah hutan konkrit ibu kota, masih tersisa sisa-sisa akar bangsa yang teguh berdiri — Kampung Sungai Baru, salah satu kampung Melayu terakhir yang mendakap kota Kuala Lumpur sejak nadi kotaraya ini mula berdetak. Namun kini, kampung ini bukan lagi sekadar kediaman. Ia telah menjadi medan pertembungan dua dunia: pembangunan dan warisan.
Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru menjadi medan khilaf yang semakin panas. Di satu pihak, kerajaan mendakwa kawasan ini berada di luar kawasan pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) — menjadikannya kawasan tanah ini bebas daripada sekatan warisan Melayu. Di satu lagi pihak, penduduk mendakwa mereka memiliki dokumen sah seperti Gazette 1550 yang menunjukkan sebaliknya. Mereka bukan menolak kemajuan, tetapi mempersoalkan keabsahan pelaksanaan yang dianggap terburu-buru dan kurang berjiwa.
Warisan yang Tidak Ditimbang
Di sinilah khilaf itu bermula — apabila pembangunan dirancang tanpa terlebih dahulu meneliti sejarah secara menyeluruh. Kampung Sungai Baru bukan sekadar kawasan perumahan. Ia mewakili kesinambungan identiti Melayu yang mula terhakis di tengah kemajuan kota. Jika benar kawasan ini sebahagian daripada kawasan pentadbiran MAS, maka segala tindakan pemilikan dan pembangunan seharusnya tertakluk kepada semangat dan roh asal penubuhannya — iaitu untuk memelihara penempatan Melayu di tengah arus urbanisasi.
Sayangnya, kerajaan tidak terlebih dahulu mengangkat "batu nisan sejarah" ini sebelum menyusun "batu masa depan". Sebaliknya ingin segera “mengikat batu bertingkat tanpa mengalih batu bersurat”. Ketergesaan ini menimbulkan persoalan tentang kepekaan, ketelusan dan integriti pentadbiran dalam menangani isu warisan bangsa.
Antara Keadilan dan Kemajuan
Pampasan mungkin ditawarkan, pelan pembangunan mungkin disusun dengan indah. Namun keadilan bukan sekadar angka — ia melibatkan rasa dihormati, didengari dan dilibatkan.
Sebahagian penduduk yang masih mengikat semangat pesanan batu bersurat bukan menolak pembangunan, tetapi menolak untuk disingkirkan tanpa maruah. Membantah kerana sebuah lagi Kampung Melayu terakhir dimajukan secara licik tanpa perdulikan Akta dan undang-undang Malaysia.
Adakah salah untuk menuntut sejarah dikaji semula? Adakah keterlaluan untuk mempertahankan pusaka yang diwariskan turun-temurun? Tidak. Kerana di sinilah terletaknya semangat bangsa — bukan pada menara tinggi yang megah, tetapi pada tanah yang memegang cerita moyang, peluh datuk, dan tangisan anak cucu.
Persoalan yang sangat besar dan menusuk ke akar keadilan, kenapakah kampung-kampung Melayu yang jelas wujud lebih awal, berperanan penting dalam pembinaan kota, dan yang juga kaya dengan nilai sejarah dan budaya tidak diangkat sebagai warisan negara, sedangkan Kampung Baru Cina diwartakan dan mendapat pengiktirafan UNESCO?
Gelombang Yang Makin Mendekat
Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru bukanlah kes terpencil — ia adalah gelombang awal daripada ombak besar yang sedang menuju. Selepas ini, tekanan pembangunan bakal menjarah pula ke kampung-kampung lain yang masih bertahan di tengah atau pinggir ibu kota: Kampung Datuk Keramat, Kampung Sungai Cincin, Kampung Chubadak, Kampung Semarak dan entah berapa lagi nama yang bakal pupus dari peta.
Apakah yang akan kita jawab kepada anak cucu nanti bila ditanya, "Di mana kampung kita?"
Apakah jawapannya sekadar, "Sudah tiada, kerana kita terlalu sibuk menyusun masa depan hingga lupa menggali akar sejarah"?
Genosid Budaya Yang Tidak Dinampak
Ramai melihat pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebagai urusan pemodenan — naikkan bangunan baru, berikan pampasan, selesai. Tapi kita lupa bahawa pemindahan penduduk asal dari tapak warisan mereka adalah sejenis genosid budaya, yang tidak kelihatan dalam statistik, tetapi menghancurkan satu generasi ke generasi berikutnya.
Genosid budaya bukan hanya berlaku bila masjid dibakar atau bahasa diharamkan. Ia berlaku bila kampung-kampung Melayu dibongkar, digantikan dengan kondominium elit yang tidak mampu didiami oleh waris asal. Ia berlaku bila nama-nama kampung hilang dari peta, digantikan dengan nama-nama neutral yang tidak mencerminkan asal-usul tanah itu.
Setiap kali satu kampung lenyap, hilanglah satu pusat budaya, satu ruang ibadah, satu tradisi turun-temurun. Anak-anak yang berpindah ke kondominuim mewah tidak lagi mengenali jiran mereka, tidak tahu asal tanah yang mereka pijak, dan tidak mengenal erti gotong-royong atau azan dari surau lama di hujung lorong.
Lebih menyedihkan, penghapusan ini berlaku dengan kelulusan rasmi, atas nama kemajuan, tanpa naratif arus perdana yang mempersoalkannya. Ia adalah bentuk penindasan yang licik — menghapuskan sesuatu tanpa kelihatan ganas, tetapi kesannya lebih dalam dari peluru.
Jika ini tidak dipanggil genosid budaya, maka apa lagi namanya?
Apakah kita rela melihat generasi akan datang membesar tanpa sejarah, tanpa warisan, tanpa akar?
Sebuah Seruan Refleksi
Pembangunan tidak wajar menjadi alasan untuk meminggirkan sejarah. Jika tidak, kita bukan sedang membina masa depan — kita sedang memadamkan akar yang menyokongnya. Kampung Sungai Baru adalah simbol terakhir perjuangan Melayu bandar. Dan jika ia dirobohkan tanpa pembelaan yang adil, maka ia bukan sekadar kampung yang lenyap — tetapi satu tamparan kepada roh sejarah bangsa kita sendiri.
Maka wahai pemerintah, wahai pembina kota, ingatlah:
Jangan menyusun batu masa depan tanpa mengangkat batu nisan sejarah.
Kerana sebuah bangsa tanpa akar, hanyalah bayang-bayang di kota yang tidak mengenal dirinya sendiri.
0 Ulasan